/abuhannan/main_page.html
/abuhannan/my_gallery.html
/abuhannan/my_lovely_malaysia.html
/abuhannan/choosing_articles.html
/abuhannan/profile.html
/abuhannan/to_other_choosing_sites.html

 THIS ARTICLE I WROTE FOR SEMINAR WHICH ORGANISED BY KUSZA YEAR 2000

Al-QURAN DAN PERUBATAN
Disedia oleh: Mohd. Ali Mohd. Yusuf
Pensyarah KUSZA.
 
Artikel ini adalah kertas sisipan seminar Al-Quran dan Sains yang dianjurkan oleh KUSZA pada tahun 2000

Pengenalan.

Al-Quran adalah mukjizat agung yang dianugerahkan kepada nabi Muhamad SAW bagi membuktikan kerasulan Baginda. Sebagai utusan yang membawa rahmat ke seluruh alam, seperti Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau wahai Muhamad melainkan untuk membawa rahmat ( kebaikan ) keseluruh alam". ( Al-Anbiya' 21:107 ), baginda telah dianugerahkan dengan mukjizat tidak hanya terbatas untuk mencabar keintelektualan manusia, malah terkandung di dalamnya lautan ilmu yang tidak surut untuk diterokai. Tujuannya adalah untuk membebaskan manusia dari kegelapan kejahilan kepada sinar pengetahuan.

Cahaya ilmu dari Al-Quran inilah yang telah memandu umat manusia menikmati kemajuan pesat hari ini. Peranan yang dicetuskan oleh Al-Quran ini disifatkan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud : "Wahai manusia telah datang kepada kamu peringatan dari Tuhanmu ( Al-Quran ) dan ia adalah syifa' ( penyembuh ) kepada penyakit hati, pemberi petunjuk dan membawa rahmat ( kebaikan ) kepada orang-orang yang beriman". ( Yunus 10:57 ).

Diantara lautan ilmu yang boleh ditimba dari Al-Quran ialah dalam bidang perubatan. Artikel ini cuba meninjau dengan ringkas, bagaimana Al-Quran mengupas tentang ilmu perubatan sehingga ianya boleh memberi faedah kepada umat manusia. Namun begitu, penulis tidak bermaksud mengumpul segala maklumat berkaitan dengan perubatan di dalam Al-Quran kerana ia adalah satu kajian yang amat luas, di mana sehingga kini para cendekiawan masih belum lagi habis menerokainya.


Kemukjizatan Al-Quran.

Para ulamak telah berselisih pendapat mengenai bentuk kemukjizatan Al-Quran. Masing-masing mendakwa mukjizat Al-Quran itu hanya pada sudut-sudut tertentu kerana penilaian itu dibuat berdasarkan kepada kepakaran yang mereka miliki sahaja. Ahli bahasa contohnya, mengatakan mukjizat Al-Quran itu terletak pada keelokan bahasa dan susunannya yang tidak dapat ditandingi oleh manusia.

Di pihak yang lain pula mengatakan mukjizat Al-Quran itu terletak pada kandungannya yang menyentuh berbagai disiplin ilmu. Ada juga yang mengatakan mukjizat itu berlaku kerana Allah SWT telah menutup hati manusia dari berupaya untuk mencabar Al-Quran walaupun mereka berupaya pada asalnya. Pendapat yang ketiga ini telah ditolak oleh Ahli Sunnah wal Jamaah kerana ianya jauh menyimpang dari pengertian mukjizat itu sendiri.

Hakikatnya mukjizat Al-Quran meliputi semua perkara yang tidak mampu dilakukan manusia setelah dicabar oleh Allah SWT walaupun mereka saling bantu-membantu. ( Manna' Al-Quttan 1981: 261-262 ). Sebagai misal, dalam masalah berkaitan dengan "Roh", Allah SWT telah menerangkan ia adalah dari perkara ghaib yang menjadi rahsia Allah SWT. Tiada sesiapapun yang dapat menyingkapnya kecuali dengan izin Allah. Cabaran itu kekal sehingga kini di mana rahsia itu masih tertutup rapat untuk dikaji oleh manusia.

Satu perkara yang harus diberi perhatian, walaupun Al-Quran itu keseluruhannya adalah mukjizat, tetapi di dalam mengungkapkan sesuatu perkara ia tidak menerangkan dengan menyeluruh dan terperinci. Inilah salah faham yang sering berlaku terhadap Al-Quran, apabila manusia menyangka semua teori ilmu itu akan diperolehi secara spesifik di dalamnya. Memang benar, tiada sesuatu apapun yang terlepas dari dikupas oleh Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Tidaklah Kami cuai ( lupa ) dari ( menyebut ) sesuatu apapun di dalam kitab ini". ( Al-An'am 6:38 ). Walaupun begitu tidak semua perkara diulaskan dengan terperinci, malah sebahagian besar dari ayat-ayat Al-Quran hanya menyentuh sesuatu itu secara umum sahaja, apatah lagi jika ia melibatkan teori yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa dan tempat. Hanya sedikit sahaja ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan sesuatu dengan terperinci seperti keterangannya mengenai hukum-hakam yang melibatkan ibadat-ibadat khusus. ( Dr. Abd. Karim Zaidan 1987:157 )

 

Ayat-ayat Al-Quran mengenai Perubatan

Perlu ditekankan bahawa Al-Quran bukanlah sebuah buku perubatan kerana ayat-ayatnya tidak diturunkan khusus untuk menerangkan tentang perubatan. Isi kandungan Al-Quran lebih meletakkan pengislahan akhlak dan pemantapan akidah manusia sebagai pokok utama perbahasan ayat-ayatnya. Walaupun begitu, terdapat banyak juga ayat-ayat yang menyentuh secara langsung atau tidak langsung mengenai perubatan seperti ayat-ayat yang menyuruh manusia menjaga kesihatan, atau melarang mereka menghampiri perkara yang memudaratkan. Disamping itu terdapat juga ayat-ayat yang menceritakan tentang rahsia kejadian manusia dan alam. Para pengkaji perubatan Islam telah merumuskan bahawa ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh mengenai perubatan terbahagi kepada tiga jenis. ( Dr. Abd. Hamid Diyab dan Dr. Ahmad Qarkuz 1983:17 )


1. Ayat-ayat yang mengandungi keterangan jelas tentang ilmu perubatan.
Terdapat lebih sepuluh ayat dengan terang menyentuh tentang perubatan di dalam Al-Quran. Diantaranya seperti ayat yang menceritakan tentang cap jari manusia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah manusia menyangka Kami tidak mampu untuk mencantum semula tulang-tulang mereka ( untuk dibangkitkan ), malah ( lebih dari itu ) Tuhanmu berupaya untuk mengembalikan kamu dengan cap jari yang sama". ( Al-Qiamah 75:3 - 4 ). Ayat ini diturunkan kepada Umar ibn. Rabiah yang datang kepada Rasulullah SAW bertanyakan tentang hari kiamat. Apabila Rasulullah SAW memceritakan keadaan hari kiamat lalu dia berkata : kalau begitulah katamu tentang hari itu, aku tidak akan mempercayaimu wahai Muhamad dan aku tidak akan beriman denganNya, adakah Tuhanmu boleh mencantumkan kembali tulang-tulang ( orang yang telah mati ) ?, demi menyanggah kata-kata itu Allah SWT telah menurunkan ayat di atas. (An-Naisaburi 1987:515 ).

Hakikatnya ayat ini diturunkan untuk berhujah dengan orang kafir tentang hari kebangkitan tetapi ia secara langsung telah menerangkan tentang atonami tubuh manusia. Walaupun perbezaan cap jari manusia hanya terbukti setelah kajian dilakukan pada kurun ke 19 Masehi, namun Al-Quran telah menerangkan keadaan ini sejak kurun ke 7 Masehi lagi. Jika Allah SWT dapat mengembalikan perkara halus sifatnya (cap jari) kepada keadaan asal setelah ianya musnah, maka mencantumkan tulang-tulang manusia kepada keadaan asal seperti di dunia tentu lebih senang bagi Allah SWT. Selain dari ayat ini, terdapat banyak lagi ayat-ayat yang menyentuh dengan jelas tentang elemen-elemen perubatan, tetapi tidak dapat diterangkan secara terperinci di dalam artikel ringkas ini.

2. Ayat-ayat berbentuk persoalan dan jawapan yang menyentuh tentang ilmu perubatan.
Salah satu keindahan ungkapan Al-Quran di dalam menerangkan sesuatu ialah melalui ayat yang berbentuk pertanyaan dan jawapan yang sering ditanya oleh manusia. Menurut syiekh Attiah Muhamad Salim, penggunaan kaedah bertanya kemudian menjawabnya adalah satu cara yang paling halus dan berkesan di dalam mendidik dan mengajar manusia. ( Attiah Muhamad Salim 1989:5 ) Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang didatangkan dalam bentuk ini diantaranya persoalan dan jawapan yang yang berkaitan dengan fitrah dan kitaran semulajadi yang berlaku kepada manusia. Contoh yang nyata tentang ayat ini ialah seperti firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan kamu telah ditanya tentang perempuan yang didatangi haid, katakanlah ( kepada mereka ) sesungguhnya Haid itu adalah perkara yang menyakitkan maka jauhilah mereka sehingga mereka bersih -" ( Al-Baqaroh 2:222 ) Di sini timbul beberapa persoalan, antaranya mengapa diharam bersekedudukan apabila wanita berada di dalam keuzuran dan mengapa perintah ini ditujukan kepada pihak lelaki, bukan kepada pihak perempuan?

Walaupun hikmah berkaitan dengan larangan ini tidak diketahui manusia secara terperinci diperingkat awal, tetapi pada masa ini, kajian-kajian perubatan moden jelas menunjukan bahawa perbuatan menggauli isteri ketika mereka dalam keuzuran akan memudahkan pasangan dijangkiti penyakit selain menyakitkan pihak wanita. Secara tidak langsung ayat ini telah menyediakan langkah awal bagi membantu manusia mencegah penyakit.

3. Ayat-ayat yang menyebut tentang perubatan secara tidak langsung.
Selain dari dua bentuk keterangan Al-Quran itu tadi, terdapat juga ayat-ayat yang menggunakan bahasa halus untuk menerangkan sesuatu, tetapi ia secara tidak langsung menyentuh tentang perubatan apabila di dalami maksudnya yang tersirat. Memahami ayat-ayat ini dan menafsirkannya untuk bidang perubatan memerlukan kemahiran yang tinggi dari penafsir. Sebagai contoh firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud : "Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, di mana mereka adalah orang yang khusyuk di dalam sembahyangnya" ( Al-Mukminun 23:1 - 2 )

Ayat ini secara khusus ditujukan kepada orang beriman yang khusyuk sembahyangnya di mana Allah SWT telah menegaskan bahawa merekalah orang yang berjaya. Tetapi jika dihalusi dari sudut perubatan ayat ini secara tidak langsung menyentuh tentang kebaikan khusyuk kepada manusia. Dari sudut saikologi, khusyuk atau memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi di dalam sesuatu pekerjaan merupakan kunci kejayaan kepada seseorang. Secara tidak langsung, ayat ini juga menyentuh tentang faktor saikologi yang mempengaruhi manusia. Namun untuk menafsirkan ayat ini kepada faktor saikologi manusia memerlukan penafsir yang benar-benar pakar disamping kajian secara saintifik untuk membuktikannya.

Ayat-ayat Al-Quran tentang penyakit

Perbahasan tentang Al-Quran dan perubatan tidak lengkap jika tidak diikuti dengan pendedahan mengenai ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tentang penyakit. Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi telah menulis dengan terperinci di dalam bukunya yang masyhur 'At-Thib An-Nabawi' tentang hal ini. Beliau telah membahagikan penyakit itu kepada dua bahagian iaitu penyakit hati dan penyakit anggota badan. Punca penyakit hati pula terbahagi kepada dua jenis iaitu penyakit hati yang berpunca dari keraguan atau syak wasangka dan penyakit hati yang berpunca dari nafsu syahwat. Penyakit ini telah disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, antaranya firman Allah SWT yang bermaksud : "Di dalam hati-hati mereka telah ditimpa penyakit ( syak ), maka Allah menambahkan lagi penyakit ke atas mereka" ( Al-Baqorah 2:10 ). Manakala penyakit anggota badan pula telah disentuh oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat yang menyebut tentang keuzuran yang membolehkan hamba itu meninggalkan ibadat puasa, haji dan sebagainya. Diantaranya, firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan jika ada diantara kamu yang sakit atau di dalam keadaan bermusafir maka hendaklah digantikan ( puasa ) pada hari-hari yang lain" ( Al-Baqorah 2:184 ). Ayat ini membenarkan orang sakit berbuka puasa kerana sakitnya, dan memberi kebenaran kepada musafir dari berpuasa demi menjaga kesihatan dan kekuatan tubuh-badannya ketika di dalam perjalanan agar puasa tidak mengganggu perjalanannya. ( Ibnu Qayyim Al-Jauzi 1985:5 - 6 ).
Dari perbahasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyentuh secara umum tentang penyakit-penyakit yang menimpa manusia. Walaupun ia tidak menerangkannya dengan terperinci, tetapi ahli perubatan boleh membuat kajian lanjut tentang sesuatu punca penyakit melalui sumber yang telah disebut oleh Al-Quran tadi. Seorang doktor yang baik dari kacamata Islam hendaklah berupaya membezakan diantara penyakit hati dan penyakit anggota badan dan mengetahui punca-puncanya sebelum berusaha untuk mengubatinya.

Al-Quran dan rawatan penyakit

Tidak hanya sekadar menyebut tentang penyakit-penyakit yang menimpa manusia, Al-Quran juga menyediakan alternatif untuk mengubatinya. Al-Quran telah membahagikannya cara rawatan kepada dua jenis:


1. Pencegahan

Antara sedar atau tidak, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi program merawat penyakit yang sepatutnya boleh dicegah sebelum berlaku. Memandangkan keadaan ini, Al-Quran sebagai kitab yang membawa "syifa wa rahmah" kepada seluruh umat manusia telah memberi perhatian yang amat besar kepada kaedah pencegahan penyakit, dan pada masa yang sama ia juga tidak alpa membicarakan tentang kaedah rawatan penyakit.
Untuk itu, Al-Quran telah meletakkan tiga asas utama sebagai langkah pencegahan ulung terhadap semua jenis penyakit iaitu : kebersihan, senaman dan kawalan pemakanan. Diantara ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh perkara ini ialah firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah amat suka kepada orang yang bertaubat dan orang yang sentiasa membersihkan diri" ( Al-Baqorah 2:222 ). Ayat ini dengan jelas menunjukan penekanan kepada kebersihan zahir ( At-Thaharah ) dan kebersihan batin ( At-Taubah ). Inilah dua langkah pencegahan utama kepada dua jenis penyakit manusia seperti yang telah dibincangkan di dalam perbahasan lalu. Di dalam ayat yang lain Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman hendaklah kamu rukuk, sujud dan memperbanyakkan ibadat kepada Tuhanmu" ( Al-Haj 22:77 ). Apa yang ditekankan di dalam ayat ini ialah cara memperkasakan ruh disamping menguatkan tubuh badan melalui gerakan-gerakan sembahyang. Inilah cara Al-Quran mengajar manusia mengelakkan diri dari penyakit. Selain dari itu, penjagaan kesihatan melalui pemakanan juga amat ditekan oleh Al-Quran di mana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : "Dihalalkan kepada kamu makanan yang baik dan diharamkan kepada kamu makanan yang merosakkan" ( Al-A'raf 7:157 ).
Al-Quran juga mengajar manusia langkah pencegahan dengan mengharamkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia seperti pengharaman arak, zina, darah, bangkai dan sebagainya. Disamping itu Allah juga mengharamkan pergaulan suami isteri diluar tabi'I seperti yang telah diterangkan di dalam perbahasan sebelum ini. Inilah mukjizat agung yang datang untuk mengubati manusia bukan sekadar menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT tetapi juga menyediakan jalan kepada mereka menikmati kehidupan yang sihat dan aman.


2. Pengubatan

Allah SWT telah berfirman : "Dan kami turunkan dari ( ayat-ayat ) Al-Quran itu apa yang menyembuhkan ( syifa ) dan membawa kebaikan ( rahmah ) kepada orang-orang beriman" ( Al-Isra' 17:82 ). Dari ayat di atas dapat difahami, isi kandungan Al-Quran juga ada menyentuh tentang ubatan-ubatan sebagai penawar kepada penyakit. Walaupun ramuan ubatan-ubatan yang disebut di dalam Al-Quran agak terbatas dan sedikit tetapi menurut kajian perubatan ia merupakan penawar untuk kebanyakan jenis penyakit manusia. Diantaranya ialah madu di mana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : "Maka makanlah kamu ( wahai lebah ) dari dari semua buah-buahan dan tempuhilah jalan Tuhanmu yang telah dipermudahkan ( bagimu ), maka keluarlah dari perut lebah itu minuman ( madu ) berbagai warna di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan manusia -" ( An-Nahl 16:69 ). Inilah ramuan yang paling berharga yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Selain dari lebah terdapat beberapa lagi jenis tumbuhan yang disebut di dalam Al-Quran mempunyai khasiat yang cukup besar untuk mengubati manusia seperti buah kurma, zaitun, thin dan lain-lain.

Selain itu, Al-Quran juga menyediakan satu kaedah rawatan yang cukup murah dan sesuai untuk semua manusia iaitu berpuasa. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat yang terdahulu, moga-moga kamu bertakwa( kepada Allah )" ( Al-Baqorah 2:183 ). Menurut kajian perubatan, puasa dapat merawat sistem pemakanan di dalam tubuh. Ia juga satu langkah diet yang boleh mengurangkan lemak dan membuang bahan-bahan toksid di dalam badan. Apatah lagi jika amalan puasa tadi diikuti dengan sembahyang tarawikh yang merupakan langkah-langkah untuk menguatkan kembali organ-organ dalaman tubuh.

Penutup
Begitulah secebis petikan mengenai mukjizat Al-Quran yang menyentuh tentang perubatan. Walaupun Al-Quran tidak mengemukakan teori tentang perubatan secara terperinci, namun tiada sesiapa yang dapat menolak sumbangannya di dalam membantu manusia mengkaji dan mendalami ilmu perubatan. Tanpa cahaya Al-Quran, kemungkinan manusia masih tercari-carikan sumber yang boleh mengeluarkan mereka dari kegelapan. Apapun diharap agar perbahasan ringkas ini dapat mencuit sedikit keimanan kita bagi mengakui keagungan Al-Quran sebagai kitab yang membawa kebaikan untuk semua. Benarlah Al-Quran itu panduan untuk seluruh umat manusia yang mengharapkan Syifa' dan Rahmahnya.

Wallahua'lam.


Senarai rujukan.

1. Muhamad Abi Bakr Ar-Razi: Ibnu Qayyim Al-Jauzi. 1985. At-Thib An-Anbawi Beirut. Muassasah Ar-Risalah.

2. Said Hawa. 1979. Tarbiyyahtina Ar-Ruhiyyah Beirut. Dar Al-Kutub Al-Arabiyyah.

3. Dr. Abd. Hamid Diyab & Dr. Ahmad Qarkuz. 1983. Ma'a At-Thib fi Al-Quran Al-Karim.Beirut. Muassasah Ulum Al-Quran.

4. Ali ibn. Ahmad Al-Wahidi : An-Naisaburi. 1987. Asbabun Nuzul. Beirut. Muassasah Ulum Al-Quran.

5. Manna' Al-Quthan. 1981. Mabahis fi Ulum Al-Quran. Riyadh. Maktabah Al-Maarif.

6. Dr. Abd. Karim Zaidan. 1987. Al-Wajiz fi Usul Al-Fiqh. Beirut. Muassasah Ar-Risalah.

7. Attiah Muhamad Salim : As-Syeikh. 1987. As-Su'al wal Jawab fi Ayat Al-Kitab. Madinah Munawwarah. Maktabah Dar At-Turath.

8. Artikel 'Ulum': An-Tumur ghaza' wa Ad-Dawa'. 1994, Jun bil: 341. Al-Wa'i Al-Islami. Hlm.73